21 Disember, 2008

Hilang Bisnes Kerana Sikap Kita Sendiri.

Setelah hilang bisnes buku teks sekolah (kerana dibekalkan percuma kepada pelajar sekarang), penerbit buku kerja menghadapi halangan baru. Baru-baru ini keluar lagi arahan dari Pak Menteri bahawa sekolah tidak boleh mengenakan apa-apa yuran semasa pendaftaran baru tahun 2009 nanti melalui satu surat pekeliling.

Ada beberapa versi cerita ini.

Ada yang mengatakan bahawa semua pengetuan dan guru besar telah dipanggil untuk satu sesi penerangan di daerah masing-masing. Khabarnya dalam sesi ini semua guru dimaklumkan bahawa mereka mesti patuh dan tidak cuba membuat sebarang 'jalan belakang'. Akibatnya, semua jenis yuran dan listing buku telah digam oleh pentadbiran sekolah. Semua kena tunggu kelulusan dalam mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Ini versi cerita yang paling keras.

Ada satu cerita yang mengatakan bahawa arahan ini hanya terpakai untuk kes yuran sahaja. Tetapi, listing buku boleh dikeluarkan seperti biasa. Ini versi yang paling lembut.

Apa pun, khabarnya arahan ini menimbulkan pelbagai kekeliruan di peringkat sekolah. Salah satu pihak yang terkesan ialah penerbit dan pembekal buku kerja ke sekolah. Saya sekadar mengulas kesannya kepada penerbit dan pembekal buku. Ulasan dari aspek lain boleh dilihat di cikgumalaysia.com contohnya.

Kebanyakkan penerbit hilang sekurang-kurangnya 30% pesanan yang biasanya mereka boleh dapat bila musim buka sekolah. Malah, laporan mengatakan untuk negeri yang mengambil keputusan untuk strict dalam soal ini, mereka lihat order jatuh lebih dari 70%.

Semua perkara ini tidak memberikan satu perasaan yang baik kepada banyak penerbit buku kerja sekolah. Hari ini, mereka menghadapi tekanan harga kertas yang semakin naik, kompetisi yang semakin kuat - dan sekarang halangan untuk menjual buku di sekolah.

Saya khuatir, dalam keadaan begini, buku dilihat sebagai satu bahan yang 'kotor', dan selalu menjadi kambing hitam bila ibu bapa naik angin dalam isu yuran dan listing.

Untuk berlaku adil, perkara ini terjadi kerana perangai segolongan kecil penerbit, pembekal yang kotor - yang mengamalkan rasuah dalam memastikan sekolah memilih tajuk mereka dalam listing.

Sekarang, buku tidak dilihat sebagai satu alat bantu mengajar yang berguna, sebaliknya satu jalan untuk memeras wang keluar dari poket ibu bapa. Kata pepatah, kalau tidak ada angin, takkan pokok bergoyang.

Tetapi, kalau kita melihat dalam jangka masa panjang, imej 'kotor' ini akan menyebabkan pelajar kita membesar dengan satu perasaan yang tidak cinta kepada buku. Ini akan menjadi satu kerugian yang sangat besar kepada pembekal buku kerja sekolah (malah semua jenis buku yang berpotensi untuk dibaca oleh pelajar sekolah).

Penerbit buku perlu satu reformasi dalam pemasaran buku. Cara lama memasarkan buku yang menjengkelkan mesti ditukar dengan cara yang lebih jujur dan adil. Kalau kita tidak berubah, lama kelamaan kita akan menggali kubur sendiri di pasaran sekolah. Kesan dari surat pekeliling ini adalah tanda-tanda awal backlash telah mula berlaku dalam pasaran sekolah.

08 Disember, 2008

Tarik Tali Hujung Tahun

Di Malaysia, untuk penerbit buku umum (bermaksud semua jenis buku selain buku sekolah dan buku teks universiti) adalah menjadi satu kemestian untuk masuk ke pasaran kedai buku berangkai (chain bookstores).

Kalau mahu distribusi dan volume yang besar, mesti pergi ke chains. Noktah.

(Penafian : Ini mazhab saya sendiri. Ada banyak juga penerbit yang sama sekali tidak bersetuju dengan pendapat ini)

Ini menyebabkan chains mempunyai pengaruh yang kuat kepada penerbit, terutamanya penerbit yang menjadi pembekal utama mereka. Mereka juga mula menggunakan pengaruh ini untuk mendapatkan terma yang lebih baik dari penerbit.

Antara perkara yang selalu menjadi topik tarik-tali adalah soal diskaun dagangan, sokongan untuk aktiviti pemasaran (beli iklan dalam majalah mereka, ikut dalam pameran, aturkan sesi bersama pengarang dan lain-lain), soal kos logistik, dan juga keutamaan untuk mendapatkan stok.

Penerbit sebaliknya akan menekankan timbal-balas seperti pameran pukal (bulk display), jualan per outlet yang lebih tinggi, ruang rak yang lebih besar untuk buku mereka, pesanan ulang (replenisment) yang lebih cepat dan lebih tinggi, dan terma bayaran yang lebih pantas.

Perkara ini boleh menjadi satu perkara yang sihat, selagi mana kedua-dua pihak faham bahawa ini mesti menjadi situasi win-win kepada kedua-dua pihak. Ia akan menjadi pahit dan kombatif, jika hanya satu pihak sahaja yang mendapat faedah, dan satu pihak lagi (penerbit-lah itu biasanya) tidak dapat melihat perkembangan dalam jualannya.

Ada juga pemikiran baru yang sedang bertiup di kalangan penerbit yang sudah lama membekal kepada chains - bahawa sudah sampai masanya untuk penerbit membuat diversifikasi tempat jualan. Kalau dulu, outlet chains di bandar-bandar besar menjadi fokus jualan, kini penerbit mesti membangunakan kedai-kedai tempatan di bandar-bandar yang lebih kecil. Kedai-kedai tempatan boleh menjadi pengimbang kepada pengaruh chains.

Saya sendiri percaya bahawa dalam tahun-tahun mendatang, penerbit mesti membuat diversifikasi ini dan pergantungan kepada chains. Ada banyak outlet buku bukan mass market yang boleh dikembangkan dengan hebat sekali. Antara niche yang terbukti berjaya sekarang;

  • outlet kedai buku sekolah yang fokus kepada servis di pasaran sekolah,
  • koperasi buku universiti yang menjual buku teks universiti dan kolej,
  • kedai buku agama,
  • news & magazine stand,
  • dan juga chains yang bersifat tempatan (seperti SQ utama, SMO, Kedai Buku Banggol)
Chains yang bersifat tempatan ini biasanya sangat sensitif kepada keperluan pasaran tempatan.

Ambil contoh sahaja untuk pasaran Melayu di Kota Bharu, saya fikir agak naif bila satu chains yang bersifat nasional ingin menjalankan promosi Krismas di sana. Mereka lebih baik membuat lokalisasi kepada aktiviti promosi yang dijalankan.

Sebaliknya kedai buku tempatan sudah bersedia untuk jualan post-hari raya haji di sana. Seperti yang kita tahu, hari raya haji akan menyaksikan trafik balik kampung yang tinggi di Kota Bharu, dan kedai buku tempatan sudah bersedia untuk mengambil kesempatan atas kebanjiran trafik ini.