Langkau ke kandungan utama

Mari Cakap Soal Ekonomi Sekarang.

Debat soal kenaikan harga minyak antara Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek pada 15 Julai ini akan diteruskan menurut TheStar.

Pada pendapat saya ini adalah perkara yang baik untuk politik Malaysia. Ada juga pendapat-pendapat yang mengatakan sebaiknya jangan diadakan debat ini dengan alasan tidak ada kebaikan untuk rakyat. Menurut laporan Utusan ini, lebih baik kita semua cakap soal liwat, atau Altantuya sahaja!

Kalau saya boleh bagi satu sebab : debat Anwar-Shabery ini akan menukar pemikiran orang Melayu tentang ekonomi.

Sebelum ini, politik Melayu hanya berkisar soal 'ketuanan', 'kedaulatan' - cakap retorik biasa. Politik orang Melayu tidak pernah dengan serius membincangkan isu pendidikan atau ekonomi yang sebenarnya penting kepada pembangunan bangsa. Ini berbeza dengan politik kaum Cina di Malaysia yang sangat mementingkan prestasi ekonomi dan kualiti pendidikan anak-anak mereka. Rujuk saja manifesto MCA dalam pilihanraya lepas.

Debat Anwar-Shabery ini berkisar pada topik ekonomi. Sepanjang ingatan saya, inilah kali pertama persoalan ekonomi akan dibincangkan untuk tatapan rakyat jelata dengan terang-terangan di kaca TV. Pandangan mainstream Shabery dan pandangan kontrararian Anwar akan diutarakan dalam format popular untuk penilaian semua lapisan masyarakat.

Pemilihan presiden luar negara biasa sahaja mempertaruhkan kebijaksanaan calon dalam mengutarakan polisi ekonomi mereka. Obama dan John McCain contohnya mengutarakan polisi dan rancangan ekonomi mereka dalam banyak rancangan TV dan temuramah. Mereka masing-masing berbicara bagaimana mereka akan membetulkan ekonomi Amerika yang sedang parah ini. Baca Obama disini (FORTUNE What Obama Means For Business), dan McCain disini (FORTUNE The Evolution Of John McCain).

Seingat saya ini tidak pernah berlaku di Malaysia. Ini kali pertama, seorang ahli politik yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri akan diletakkan di kaca TV untuk mengutarakan polisi ekonomi beliau. Kali ini kita akan lihat apa polisi ekonominya, siapa penasihat dan ahli ekonomi beliau, dan apakah rancangannya untuk memajukan ekonomi Malaysia. Harapan saya jangan Anwar cakap kosong 'Bagi saya jadi Perdana Menteri dulu, baru saya buat'. Kita mahu lihat apakah rancangan beliau, dengan maklumat dan data yang menyokong hujahnya.

Sebaliknya, saya mengharapkan Perdana Menteri, atau bakal Perdana Menteri Najib yang akan menjadi lawan Anwar dalam debat begini. Mari kita dengar apa pula rancangan bakal Perdana Menteri ini untuk memajukan ekonomi Malaysia, dan mengatasi masalah inflasi komoditi dunia. Hanya tinggal 2 tahun sahaja sebelum beliau mengambil alih tempat PakLah (Adakah turun menurun kuasa jawatan Presiden ini sah dari segi perlembagaan parti itu perlu dibicarakan dalam artikel lain). Adakah beliau ada rancangan yang baik? Atitud tipikal pemerintah, 'aku kerajaaan, maka aku tahu apa yang terbaik' itu tidak boleh dipakai lagi sekarang.

Semoga debat-debat yang substansial begini akan dibanyakkan di masa depan. Kesannya nanti, orang Melayu akan mula berfikir dan berbicara soal-soal baru seperti falsafah ekonomi, polisi ekonomi kerajaan, percukaian dan juga kesan polisi ekonomi dalam kehidupan seharian kita. Pemahaman baru ini akan membolehkan kita berbicara soal DEB atau dasar diskriminasi positif dengan lebih bijaksana, tanpa momok-momok kehancuran bangsa.

Apa pun, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada menteri penerangan kita sekarang yang nampaknya ada kecerahan dalam pemikirannya. Pada pendapat saya beliau bersikap terbuka, melihat kehadapan dan responsif kepada kehendak golongan baru dan muda dalam masyarakat.

Selamat berdebat!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Secara peribadi, saya rasa cukup gembira mendengar keputusan bagi mengadakan debat ini. Ini perkembangan yang baik kepada politik Malaysia. Biar rakyat mendengar pandangan (pastinya perlu konstruktif dan membina) tokoh-tokoh pemimpin mereka ini dan kemudian menilai, mana yang sesuai dan mana yang tidak. Daripada sinilah, rakyat juga dapat menilai, siapa yang layak dan siapa yang tidak, siapa yang cakap kosong dan siapa yang lebih berpijak di bumi nyata, siapa yang memandang politik sebagai matlamat dan siapa yang melihat politik sebagai instrumen.

Saya pasti tidak akan dapat melepaskan peluang menonton debat ini.

Catatan popular daripada blog ini

Ebook di Malaysia tahun 2017 (Part 1/4).

Hari ini, pembaca tempatan dalam bahasa Melayu, yang mahu buku dalam format ebook sudah ada pelbagai pilihan. Servis ebook dalam bahasa Melayu boleh dikelaskan kepada beberapa jenis; Pay Per Download (PPD), atau dipanggil juga a la carte, Subscription atau dipanggil juga sebagai ebook buffet, Pinjam dari perpustakaan digital (elibrary), dan Self publish platform yang rata-rata menawarkan pembacaan secara percuma. Semua bergantung kepada jenis buku yang kita mahu, dan bajet.   A. Kategori Pay Per Download, atau a la carte. Konsep yang paling awal, dan paling difahami oleh pembaca ebook. Pilih ebook, bayar dan ebook yang telah dibeli akan kekal dalam pustaka anda (selagi platform itu masih hidup). Di Malaysia khususnya, pemain utama konsep ini ialah Google Play Books . Google Play sudah terbina dalam setiap telefon Android.    Dalam Google Play, pilih Books.    Kemudian pilih Books in Malay.   Ada beribu-ribu tajuk bu...

Hologram Al-Quran KDN; Satu Bentuk Cukai Baru Kepada Pembaca Al-Quran.

KEMASKINI. Tambahan satu poin lagi tentang cukai dua kali, dan sedikit edit. ----------------------- Bermula pada 1 November ini, KDN telah memperkenalkan sticker Hologram yang mesti dilekatkan kepada semua Al-Quran yang ingin dijual di Malaysia. Rujuk kepada berita http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/beli-al-quran-berpelekat-hologram-dilulus-kdn/ Menurut KDN, ini untuk mengatasi masalah Al-Quran yang tidak 'sah' dijual di Malaysia. Dari segi niatnya memang bagus dan patut kita semua sokong. Tetapi, dari segi pelaksanaannya, kami mohon supaya dibuat kajian yang lebih dalam. Malah, saya rayu supaya menteri KDN yang selalu tersenyum itu supaya membatalkan warta ini. Kenapa kami bantah stiker Hologram itu? Banyak perkara tersirat, tidak ditulis dalam berita itu. Saya mula dengan satu analogi: Seorang penjual ayam ditangkap di pasar Keramat kerana menjual ayam tidak disembelih kepada orang Islam. Serta merta menteri mengumumkan semua ayam di seluruh...

Fastest Growing Market Untuk Industri Buku 2017

Fastest Growing Market untuk industri buku bagi beberapa tahun kebelakangan ini adalah Pantai Timur Semenanjung. Kedai buku wilayah (regional bookshop) dari Pantai Timur yang utama adalah; A) Syarikat Muda Osman dari Kota Bharu, dengan jenama SMO Bookstores kini ada 24 outlet. B) Kedai Buku Banggol dari Tanah Merah, kini mengoperasikan 15 outlet. C) Pustaka Seri Intan dari Kuala Terengganu, kini ada 13 outlet. D) Syarikat Buku Men Men dari Kuantan, dengan jenama MBS kini mempunyai 12 outlet. Pasaran Pantai Timur juga diteroka oleh pekedai buku nasional seperti Popular Bookstore, Kedai Buku 1Malaysia (telah tutup semua outlet di Pantai Timur) dan Mydin Hypermarket. Selain dari kedai buku nasional dan wilayah - ia juga ditekuni oleh beberapa kedai tradisional yang aktif, seperti Syarikat Jaafar Rawas. Gosip pasaran mengatakan bahawa kumpulan kedai buku wilayah (regional bookshop) ini masih mengintai peluang untuk membuka outlet baru dikawasan yang berpotensi. Masih ada...