Langkau ke kandungan utama

Format kiosk : Lautan biru untuk usahawan kecil dalam jualan buku.

Dunia jualan buku hari ini tidak seperti 10 tahun lepas. Hari ini orang mahu ke kedai buku yang besar dan lengkap.

Kalau berminat mahu membuka kedai buku, ada beberapa kedai yang boleh dijadikan contoh. Kita akan pecahkan kedai-kedai buku ini mengikut lokasi duduknya kedai tersebut;

Lokasi : Mall.

Kedai buku yang duduk di dalam Mall biasanya boleh mencapai jualan antara RM 100 ribu hingga RM 1 juta sebulan, bergantung kepada saiz dan lokasi kedai tesebut.

Antara contoh yang utama adalah kedai buku korporat seperti MPH, Popular, Kinokuniya dan Borders. Ini liga korporat yang besar.

Selain itu ada juga kedai buku lokal yang duduk dalam mall. Contoh terbaik adalah Kedai Buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana, Johor Baru dan juga Kedai Buku SMO, di KB Mall, Kota Bharu. Mereka ini adalah kedai buku yang sudah berpuluh-puluh tahun usianya dan mempunyai modal yang kukuh untuk masuk ke dalam Mall.

Ini bukan liga usahawan kecil.

Lokasi : Shop-Lot.

Ada banyak kedai buku format shop-lot di Malaysia. Kebanyakkannya menjual alat tulis dan buku-buku rujukan sekolah. Kedai format ini ada di seluruh pekan besar dan kecil.

Maklumat yang saya terima, untuk setiap 1 pintu kedai jenis shop-lot, boleh menghasilkan jualan sekitar RM 25 ribu hingga RM70 ribu, bergantung kepada lokasi dan berapa ramai pelanggan yang masuk ke dalam kedai.

Antara contoh kedai buku format shoplot yang hebat adalah Kedai Buku Hasani, sebesar 5 pintu di Sungai Petani, Kedah dan kedai buku agama Jaafar Rawas, sebesar 3 pintu di Kota Bharu. Kedai-kedai contoh ini sudah keluar dari kepompong 'sekadar kedai buku sekolah'. Hasani contohnya memperuntukkan 1 pintu untuk buku agama, 1 pintu untuk trade book, 1 pintu untuk novel dan buku kanak-kanak, 1 pintu untuk alat tulis, dan 1 pintu untuk buku-buku rujukan sekolah.

Hari ini, semua kedai buku format shop-lot yang baik pastilah luasnya lebih dari 2 pintu. Ini kerana jumlah buku, alat tulis dan bahan-bahan lain yang perlu dipamerkan sudah semakin besar.

Maklumat terbaru menunjukkan yang sekurang-kurangnya 200 tajuk baru buku dalam bahasa Melayu masuk ke kedai setiap bulan. Buku-buku ini datang dalam pelbagai kategori, dari kanak-kanak hinggalah kepada buku dewasa. Oleh kerana itu, kedai buku yang mahu ada range yang baik, perlu ada saiz yang besar.

Ini liga usahawan saiz sederhana.

Lokasi : Kiosk dalam Hipermarket

Ini adalah satu format yang pada pendapat saya sebuah lautan biru. Kiosk jualan buku masih belum banyak di pasaran, tetapi hipermarket dengan demografi majoriti Melayu sudah banyak.

Menurut maklumat yang kami ada, sebuah kiosk yang baik boleh membuat jualan sekitar RM25 ribu hingga Rm 30 ribu sebulan, bergantung kepada lokasi dan produk. Inilah format yang sesuai untuk usahawan kecil yang mahu bermula dalam bidang jualan buku. Risikonya relatif rendah, dengan modal yang juga rendah.

Format kiosk hanya fokus kepada buku-buku bestseller yang laris dijual sahaja. Range yang lengkap bukan matlamatnya. Kita anggaplah kiosk ini memberikan servis cadangan tajuk seperti penjual DVD haram yang cekap mencadangkan tajuk mengikut gaya pembelinya. Asal pembeli datang, sudah ada bestseller list yang boleh ditunjukkan kepada pembaca tadi. Buku-buku agama, buku masak, buku niaga kecil, buku kewangan peribadi, Al-Quran, surah Yassin merupakan jualan rutinnya.

Yang menjadi cabaran usahawan kiosk adalah mendapatkan kredit dari penerbit atau pengedar buku. Ini kerana sifat kiosk yang boleh berubah-ubah tempat itu dianggap berisiko tinggi untuk 'hilang'. Usahawan kiosk perlu memborong tunai pada peringkat awal, dalam masa yang sama membina kepercayaan dari penerbit dengan menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan ini.

Lama-kelamaan pasti kepercayaan akan datang, dan urusan bisnes menjadi lebih ligat dengan adanya kredit dari penerbit.

Format kiosk ini sudah banyak dibuat oleh peniaga buku dalam pasar malam. Bezanya, peniaga buku pasar amalam menggunakan van dan meja lipat, tetapi pengusaha kiosk menyewa tapak dalam hipermarket.

Semoga lebih ramai pengusaha kiosk buku akan muncul di pasaran.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ebook di Malaysia tahun 2017 (Part 1/4).

Hari ini, pembaca tempatan dalam bahasa Melayu, yang mahu buku dalam format ebook sudah ada pelbagai pilihan. Servis ebook dalam bahasa Melayu boleh dikelaskan kepada beberapa jenis; Pay Per Download (PPD), atau dipanggil juga a la carte, Subscription atau dipanggil juga sebagai ebook buffet, Pinjam dari perpustakaan digital (elibrary), dan Self publish platform yang rata-rata menawarkan pembacaan secara percuma. Semua bergantung kepada jenis buku yang kita mahu, dan bajet.   A. Kategori Pay Per Download, atau a la carte. Konsep yang paling awal, dan paling difahami oleh pembaca ebook. Pilih ebook, bayar dan ebook yang telah dibeli akan kekal dalam pustaka anda (selagi platform itu masih hidup). Di Malaysia khususnya, pemain utama konsep ini ialah Google Play Books . Google Play sudah terbina dalam setiap telefon Android.    Dalam Google Play, pilih Books.    Kemudian pilih Books in Malay.   Ada beribu-ribu tajuk bu...

Hologram Al-Quran KDN; Satu Bentuk Cukai Baru Kepada Pembaca Al-Quran.

KEMASKINI. Tambahan satu poin lagi tentang cukai dua kali, dan sedikit edit. ----------------------- Bermula pada 1 November ini, KDN telah memperkenalkan sticker Hologram yang mesti dilekatkan kepada semua Al-Quran yang ingin dijual di Malaysia. Rujuk kepada berita http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/beli-al-quran-berpelekat-hologram-dilulus-kdn/ Menurut KDN, ini untuk mengatasi masalah Al-Quran yang tidak 'sah' dijual di Malaysia. Dari segi niatnya memang bagus dan patut kita semua sokong. Tetapi, dari segi pelaksanaannya, kami mohon supaya dibuat kajian yang lebih dalam. Malah, saya rayu supaya menteri KDN yang selalu tersenyum itu supaya membatalkan warta ini. Kenapa kami bantah stiker Hologram itu? Banyak perkara tersirat, tidak ditulis dalam berita itu. Saya mula dengan satu analogi: Seorang penjual ayam ditangkap di pasar Keramat kerana menjual ayam tidak disembelih kepada orang Islam. Serta merta menteri mengumumkan semua ayam di seluruh...

Fastest Growing Market Untuk Industri Buku 2017

Fastest Growing Market untuk industri buku bagi beberapa tahun kebelakangan ini adalah Pantai Timur Semenanjung. Kedai buku wilayah (regional bookshop) dari Pantai Timur yang utama adalah; A) Syarikat Muda Osman dari Kota Bharu, dengan jenama SMO Bookstores kini ada 24 outlet. B) Kedai Buku Banggol dari Tanah Merah, kini mengoperasikan 15 outlet. C) Pustaka Seri Intan dari Kuala Terengganu, kini ada 13 outlet. D) Syarikat Buku Men Men dari Kuantan, dengan jenama MBS kini mempunyai 12 outlet. Pasaran Pantai Timur juga diteroka oleh pekedai buku nasional seperti Popular Bookstore, Kedai Buku 1Malaysia (telah tutup semua outlet di Pantai Timur) dan Mydin Hypermarket. Selain dari kedai buku nasional dan wilayah - ia juga ditekuni oleh beberapa kedai tradisional yang aktif, seperti Syarikat Jaafar Rawas. Gosip pasaran mengatakan bahawa kumpulan kedai buku wilayah (regional bookshop) ini masih mengintai peluang untuk membuka outlet baru dikawasan yang berpotensi. Masih ada...