12 April, 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur - Berdepan dengan konsumer yang semakin sofistikated.

PBAKL 2010 dari kaca mata pengunjung tidak ada bezanya dari tahun-tahun sebelum ini. Macam biasa sahaja. Tahun depan, PBAKL akan mencapai usia 30 tahun. Satu kejayaan besar kepada industri buku di tanahair kita ini.


Tetapi, dari kaca mata orang yang terlibat dalam penganjurannya - ada pola kejatuhan jumlah pengunjung yang agak merisaukan.
  • Sekitar tahun 2008, PBAKL menerima lebih dari 2 juta pengunjung.
  • Dalam tahun 2009, jatuh kepada 1.5 juta pengunjung.
  • Dalam tahun 2010, jatuh lagi sekitar 1.2 juta pengunjung.
Kita sudah hilang lebih sekurang-kurangnya 800 ribu pengunjung dalam tempoh 2 tahun.

Apa sudah berlaku?

Untuk menjelaskan kejatuhan pengunjung dalam tahun 2010, kami meletakkan beberapa teori:

Satu, soal gaji. Kakitangan awam yang merupakan pengunjung utama pesta buku belum mendapat gaji. Malah, mereka mendapat gaji awal dalam bulan Febuari. Seawal 8hb Febuari. Ini jelas sekali kelihatan dalam statistik pengunjung harian. Hampir 70% pengunjung datang selepas 24hb Mac, selepas gaji masuk.

Dua, cuaca. Kejadian hujan lebat dan ribut yang berlaku setiap petang menyebabkan pengunjung sebelah petang amat kurang. Orang Kuala Lumpur khuatir bergerak jauh-jauh dalam hujan kerana takut tersangkut dalam banjir kilat.

Tiga, soal tarikh. Cuti sekolah berakhir pada minggu pertama pesta buku berlangsung. Faktor cuti sekolah penting bagi menarik kehadiran pengunjung dari luar daerah. Orang Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan sebagainya sukar untuk datang jika bukan musim cuti sekolah.

Empat, soal iklan yang lambat keluar. Iklan pesta buku di satu akhbar utama hanya bermula 3 hari sebelum pesta buku. Mitigasinya, di akhbar-akhbar lain bermula seawal 2 minggu sebelum pesta buku.

Dalam tahun 2009 pula, faktor utama yang kami fikir menyebabkan kejatuhan pengunjung adalah saiz dewan pameran yang lebih kecil. Dari sekitar 800+ gerai dalam 2008, jatuh kepada 600+ gerai dalam tahun 2009.

Benarkah faktor-faktor ini yang menyebabkan kejatuhan berlaku selama 2 tahun berturut - turut?

Jika inilah faktornya, ia mesti berlaku selama 2 tahun berturut-turut. Ia bukan hanya berlaku pada satu tahun, dan tidak berlaku dalam tahun yang lain.

Saya takut ini satu pola yang lebih besar dari faktor-faktor kecil diatas. Kejatuhan jumlah pengunjung selama 2 tahun ini bukan sekadar faktor cuaca, cuti sekolah dan gaji.

Apa pun bedah siasatnya, saya percaya bahawa pesta buku perlu satu nafas baru. Ulang tahun ke 30 tahun depan perlu kepada satu perubahan baru. Mungkin orang sudah jemu dengan pesta buku yang setiap tahun begitu sahaja rupanya.

Kita tidak ada satu poin jualan yang unik (USP);
  • pesta buku paling lengkap - BUKAN
  • pesta buku paling murah - BUKAN
  • untuk judul paling baru - BUKAN
  • pesta buku paling prestij - BUKAN
Kita biasa-biasa sahaja dalam semua poin-poin diatas. Parah kita kalau dikaji secara mendalam oleh pakar pemasaran.

Sebaliknya, kita berdepan dengan konsumer yang semakin sofistikated. Konsumer yang menekankan keselesaan, pilihan, harga atau boleh kita katakan 'pengalaman semasa berbelanja'. Apa pengalaman yang pesta buku telah berikan kepada mereka?

Sehingga hari ini, pesta buku masih dianjurkan secara sukarela oleh ahli-ahli persatuan. Ura-ura persatuan buku untuk menubuhkan satu badan professional untuk menganjurkan pesta buku ini masih belum tercapai sehingga hari ini.

Berapa lama lagikah tenaga sukarela dapat bertahan, dalam dunia yang semakin kompetatif ini?


06 April, 2010

Format kiosk : Lautan biru untuk usahawan kecil dalam jualan buku.

Dunia jualan buku hari ini tidak seperti 10 tahun lepas. Hari ini orang mahu ke kedai buku yang besar dan lengkap.

Kalau berminat mahu membuka kedai buku, ada beberapa kedai yang boleh dijadikan contoh. Kita akan pecahkan kedai-kedai buku ini mengikut lokasi duduknya kedai tersebut;

Lokasi : Mall.

Kedai buku yang duduk di dalam Mall biasanya boleh mencapai jualan antara RM 100 ribu hingga RM 1 juta sebulan, bergantung kepada saiz dan lokasi kedai tesebut.

Antara contoh yang utama adalah kedai buku korporat seperti MPH, Popular, Kinokuniya dan Borders. Ini liga korporat yang besar.

Selain itu ada juga kedai buku lokal yang duduk dalam mall. Contoh terbaik adalah Kedai Buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana, Johor Baru dan juga Kedai Buku SMO, di KB Mall, Kota Bharu. Mereka ini adalah kedai buku yang sudah berpuluh-puluh tahun usianya dan mempunyai modal yang kukuh untuk masuk ke dalam Mall.

Ini bukan liga usahawan kecil.

Lokasi : Shop-Lot.

Ada banyak kedai buku format shop-lot di Malaysia. Kebanyakkannya menjual alat tulis dan buku-buku rujukan sekolah. Kedai format ini ada di seluruh pekan besar dan kecil.

Maklumat yang saya terima, untuk setiap 1 pintu kedai jenis shop-lot, boleh menghasilkan jualan sekitar RM 25 ribu hingga RM70 ribu, bergantung kepada lokasi dan berapa ramai pelanggan yang masuk ke dalam kedai.

Antara contoh kedai buku format shoplot yang hebat adalah Kedai Buku Hasani, sebesar 5 pintu di Sungai Petani, Kedah dan kedai buku agama Jaafar Rawas, sebesar 3 pintu di Kota Bharu. Kedai-kedai contoh ini sudah keluar dari kepompong 'sekadar kedai buku sekolah'. Hasani contohnya memperuntukkan 1 pintu untuk buku agama, 1 pintu untuk trade book, 1 pintu untuk novel dan buku kanak-kanak, 1 pintu untuk alat tulis, dan 1 pintu untuk buku-buku rujukan sekolah.

Hari ini, semua kedai buku format shop-lot yang baik pastilah luasnya lebih dari 2 pintu. Ini kerana jumlah buku, alat tulis dan bahan-bahan lain yang perlu dipamerkan sudah semakin besar.

Maklumat terbaru menunjukkan yang sekurang-kurangnya 200 tajuk baru buku dalam bahasa Melayu masuk ke kedai setiap bulan. Buku-buku ini datang dalam pelbagai kategori, dari kanak-kanak hinggalah kepada buku dewasa. Oleh kerana itu, kedai buku yang mahu ada range yang baik, perlu ada saiz yang besar.

Ini liga usahawan saiz sederhana.

Lokasi : Kiosk dalam Hipermarket

Ini adalah satu format yang pada pendapat saya sebuah lautan biru. Kiosk jualan buku masih belum banyak di pasaran, tetapi hipermarket dengan demografi majoriti Melayu sudah banyak.

Menurut maklumat yang kami ada, sebuah kiosk yang baik boleh membuat jualan sekitar RM25 ribu hingga Rm 30 ribu sebulan, bergantung kepada lokasi dan produk. Inilah format yang sesuai untuk usahawan kecil yang mahu bermula dalam bidang jualan buku. Risikonya relatif rendah, dengan modal yang juga rendah.

Format kiosk hanya fokus kepada buku-buku bestseller yang laris dijual sahaja. Range yang lengkap bukan matlamatnya. Kita anggaplah kiosk ini memberikan servis cadangan tajuk seperti penjual DVD haram yang cekap mencadangkan tajuk mengikut gaya pembelinya. Asal pembeli datang, sudah ada bestseller list yang boleh ditunjukkan kepada pembaca tadi. Buku-buku agama, buku masak, buku niaga kecil, buku kewangan peribadi, Al-Quran, surah Yassin merupakan jualan rutinnya.

Yang menjadi cabaran usahawan kiosk adalah mendapatkan kredit dari penerbit atau pengedar buku. Ini kerana sifat kiosk yang boleh berubah-ubah tempat itu dianggap berisiko tinggi untuk 'hilang'. Usahawan kiosk perlu memborong tunai pada peringkat awal, dalam masa yang sama membina kepercayaan dari penerbit dengan menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan ini.

Lama-kelamaan pasti kepercayaan akan datang, dan urusan bisnes menjadi lebih ligat dengan adanya kredit dari penerbit.

Format kiosk ini sudah banyak dibuat oleh peniaga buku dalam pasar malam. Bezanya, peniaga buku pasar amalam menggunakan van dan meja lipat, tetapi pengusaha kiosk menyewa tapak dalam hipermarket.

Semoga lebih ramai pengusaha kiosk buku akan muncul di pasaran.