04 Disember, 2009

Siapa Perlu Beli Buku Teks Sendiri?

Ini soalan yang dijawab oleh BBT dalam perbincangan ringkas dengan Persatuan Penerbit beberapa hari lepas.


1. Pelajar MRSM. Sebagai bekas pelajar MRSM Kuantan, saya arif tentang keperluan kami pelajar MRSM. Semua buk teks kena beli sendiri.

2. Pelajar sekolah swasta lain. Sekolah antarabangsa, sekolah swasta islam, sekolah swasta cina, sekolah swasta pendidikan khas. Semua pelajar ini kena beli sendiri. Data ada di Bahagian Pelajaran Swasta (yang websitenya masih tidak diupdate dari tahun 2007)

3. Ibu bapa yang mahu anaknya guna buku baru. Mereka tidak mahu buku teks usang dari skim pinjaman.

4. Pelajar yang terpaksa membeli buku ganti kerana hilang/rosak dan sebagainya. Mesti beli buku baru.

5. Cikgu yang masih menuntut di Institut Latihan Guru.

Semua orang-orang ini perlu kepada buku teks di pasaran terbuka.

Masalah utama mereka ialah kebanyakkan kedai buku tidak lagi menjual buku teks, sejak menteri mengumumkan dasar buku teks percuma untuk semua. Alasan pekedai buku ialah tidak ada orang yang mahu beli buku teks lagi. Dari satu segi munasabah, tetapi bila melihat senarai 1 hingga 5 diatas, jelas ada ramai yang perlu.

Berapa banyak stok kedai mesti ada?

Informasi jumlah pelajar bagi no 1 dan 2 ada di MARA, dan Bahagian Pelajaran Swasta(BPS). Masalah kecil ada bila BPS tidak kemaskini data dalam laman web mereka. Tetapi saya yakin boleh dibuat melalui panggilan telefon.

Dimana tempat boleh kita rujuk?

Pergi ke laman web Bahagian Buku Teks. Laman web BBT sepatutnya menjadi portal untuk menyalurkan pelbagai jenis maklumat kepada ibu bapa dan pelajar yang perlu membeli buku teksnya sendiri.





Buku Teks Runtuh 2010

Bila dasar PPSMI ditukar kepada MBMMBI, maka adalah keperluan untuk menukar buku teks sekolah. Industri sedang giat mempersiapkan diri untuk beberapa perubahan yang penting dalam tahun 2011.

Pertama, korikulum baru akan digunakan dalam tahun 2011. Bermula dengan darjah 1 dan tingkatan 1. Korikulum ini dipanggil Korikulum Transformasi. Sehingga kini belum nampak apa-apa dokumen lagi. Tetapi, pasti Kementerian akan membuat latihan, seminar dan penerangan besar-besaran untuk implementasinya nanti. Tunggu sahaja beritanya.

Dua, buku teks darjah 1 dan tingkatan satu akan ditukar dalam tahun 2011. Ini bermakna Bahagian Buku Teks (BBT) yang mengkoordinasi penerbitan buku teks akan mula mengeluarkan tender seawal januari tahun depan.

Buku teks baru ini mesti siap dan dihantar ke sekolah selewat-lewatnya bulan Disember 2010. Saya dimaklumkan yang ada 28 tajuk baru akan diterbitkan. Saya jangka semua buku teks baru ini akan menggunakan korikulum transformasi nanti.

Tinggal 12 bulan sahaja lagi.

Tiga, buku teks untuk darjah 2, tingkatan 2 dan tingkatan 4 akan ditukar dalam tahun 2012. BBT akan memulakan program penerbitan kumpulan ini lebih awal, dan saya jangka tender akan keluar seawal pertengahan tahun 2010.

Ini bermakna BBT ada masa yang lebih selesa, lebih kurang 18 bulan untuk penyediaan buku-buku kumpulan ini.

Empat, aspek MBI akan menumpukan kepada 'the art of language'. Ini memberi peluang kepada penerbit untuk memperkenalkan pelbagai buku bahasa inggeris yang sepadan. Sastera, puisi, drama dan pelbagai buku bantu dalam aktiviti bahasa Inggeris boleh dipasarkan.

Lima, aspek MBM adalah peluang terbesar untuk penerbit tempatan. Ini bermakna penerbitan buku sains, matematik dan bahan-bahan bacaan tambahan dalam bidang ini boleh dilipat gandakan. Kali ini, sekolah tidak perlu lagi membeli buku import dalam subjek sains dan matematik.

Apa pun, 2010 akan jadi tahun durian runtuh untuk penerbit buku teks Malaysia.

Amin, syukur atas rezeki Allah.









09 September, 2009

Musim Kemarau

Tahun ini seperti musim kemarau bagi pembelian kerajaan. Kita sudah dekat ke hujung tahun, tetapi nampaknya tidak ada lagi pembelian buku oleh agensi kerajaan. Ramai teman-teman yang kata, kerajaan sudah tidak ada duit untuk beli buku.


Ada beberapa kontrak pembelian yang besar;

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) - PNM mempunyai lebih dari 1000 perpustakaan desa seluruh negara. Biasanya PNM akan membli pelbagai jenis buku tempatan yang sesuai untuk bacaan masyarakat desa setiap tahun. Jumlahnya agak besar, sekitar 1000 naskah setiap tajuk. Tahun ini nampaknya belum ada angin-anginnya sama sekali.

KEMAS - KEMAS membeli buku untuk guru tadika-tadikanya, dan juga pusat latihan guru tadika. Jika buku yang dibeli untuk rujukan semua guru tadika, jumlahnya memang besar. Sekitar 8000 naskah.

Bahagian Buku Teks (BBT) - paling terkenal adalah pembelian buku teks KBSR dan KBSM. Ini salah satu punca perniagaan utama banyak penerbit buku berasaskan silibus. Spekulasi mengatakan bahawa musim buku teks baru adalah tahun 2012 nanti, sempena pemansuhan sistem PPSMI.

Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) - Fungsinya adalah membeli buku untuk pusat sumber sekolah-sekolah. Tetapi kerana fiasco yang berlaku dalam proses pembelian BTP, fungsi pembelian ini sekarang dipindahkan kepada satu unit di bawah BBT bermula dalam tahun 2010.

Sehingga sekarang, masih belum terdengar bilakah pembelian ini akan dilaksanakan. Bagi industri buku kita yang masih mentah ini, setiap pembelian kerajaan adalah bermakna. Disinilah penerbit boleh membuat sedikit jualan bonus. Dan rezeki inilah juga yang menjadi bonus dan imbuhan kepada pekerja dalam industri penerbitan.

Penerbit tertunggu - tunggu jika akan ada pembelian tahun ini. Yang menjadi debaran ialah jika semua projek ini keluar pada hujung tahun. Pasti pembekalannya nanti terpaksa dibuat dalam tempoh yang singkat. Semua orang akan terkejar-kejar hujung tahun ini untuk menyelesaikan pembekalan mereka.

Kalau lewat pun, semoga ada pembelian tahun ini, yang bagi kebanyakkan penerbit adalah tahun yang mencabar.

Jangan sampai tidak ada pembelian.

10 Julai, 2009

PPSMI : Nasi Sudah Jadi Bubur

Pertama sekali, tahniah TPM kerana berani dan bijak.

Tahniah TPM!

Bijak! Beliau mengaku bahawa data yang dikumpul menunjukkan bahasa polisi ini gagal sama sekali meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Perbelanjaan lebih dari R 4 Billion, dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar hanya naik tidak sampai 3%.

Bijak kerana beliau tidak membenarkan prejudis peribadi menguasai pemikirannya, tetapi membenarkan rasional data memandu keputusan beliau.

Berani kerana sanggup menangani isu nasional yang sebegini besar dengan bijak. Bukan calang orang yang sanggup mengadap Tun Mahathir untuk memberitahu beliau tentang kegagalan polisi PPSMI yang diasaskan oleh beliau itu. Anak jantan. Najib sendiri belum pasti berani ambil risiko ini, kalau Hishamuddin jauh sekali.

Saya hormat beliau kerana berani ambil keputusan ini.

Masalah Sebenar Sudah Pecah.

Seterusnya, kitaa lihat sekarang masalah sebenar dalam pengajaaran bahasa Inggeris -

  • Isu guru yang tidak cukup sampai 14000 orang.
  • Isu kompetansi guru bahasa Inggeris di sekolah.
  • Isu sumber untuk kelas bahasa Inggeris, dan masa pengajaran
Inilah masalah sebenar yang menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris jatuh.

Bapak menteri (terutamanya Hishamuddin 'sengih'),

Cara berfikir kita mesti kemas. Jangan berfikir secara herot perot.

Kalau kelas bahasa Inggeris yang bermasalah, selesaikan disini. Jangan melalut mengganggu kelas sains dan matematik. Tidak ada kena mengena sama sekali.

Oleh kerana jelas sekali beliau ini kurang bijak, saya guna analogi. Ambil contoh, sistem stering kereta kita rosak. Tetapi kita bawak pergi kedai cat badan, dan sembur cat baru. Lepas 5 tahun, kita masih merengek kenapa stering kita masih tak betul. Bukankah bodoh namanya pergi cat badan kereta itu - nampak cantik, tapi masalah stering makin bocor dan bobrok. Malah, boleh bawa kepada terjadi kemalangan oleh sebab kelemahan akal kita itu.

Kamu sudah belanjakan RM 4 Billion wang rakyat untuk projek yang ROInya sangat buruk. Kalau kamu jadi pengurus, saya sudah pecat.

Saya mahu pengurus yang cekap dalam mengkaji dan memilih solusi terbaik, yang paling efektif dan memberikan ROI terbaik untuk dana kita.

Nasib baik ada Muhyiddin.

Melihat Kebelakang.

Kalau perkara ini ditangani dari awal, pasti defisit ini tidak akan jadi sebegitu buruk.

Kalau kita menggunakan RM4 billion itu secara bijak;
  • Membangunkan universiti bahasa moden dan Institusi latihan guru
  • Mengambil dan melatih guru secukupnya
  • Membangunkan pedagogi baru (atau beli dari luar kalau perlu)
  • Dan seterusnya
Kita boleh cakap lagi dan lagi tentang apa kita patut buat dulu. Kata kerjanya disini - kalau.

Sekarang nasi sudah jadi bubur.

05 Jun, 2009

Kota Buku : Arked MARA, Musium Buku atau Kedai Buku Yang Besar?

Sejak menteri pelajaran mengumumkan penubuhan kota buku, berita ini menjadi salah satu topik yang banyak dibincangkan dikalangan penerbit buku. Banyak dari yang dibincangkan adalah sekadar gossip kerana belum ada maklumat yang sahih lagi.


Antara persooalan besar;

Siapa yang akan menjadi badan pelaksana?

Kota buku khabarnya direbut oleh banyak pihak. Dulu lagi pernah diumumkan oleh Datuk Seri Najib. Pengumuman itu dibuat dalam majlis Dewan Industri Buku Malaysia (sebenarnya NGO industri buku yang fokus kepada memperjuangkan isu bumiputera), tetapi sehingga kini senyap sunyi dan gagal dilaksanakan.

Pengumuman oleh Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini dibuat dalam majlis ITNM, yang juga adalah pemaju kepada cadangan baru ini. Oleh itu banyak pihak menafsirkan bahawa projek kota buku 2009 ini akan dilaksanakan oleh ITNM.

Tetapi, cadangana ini juga menarik minat badan-badan buku lain seperti DBP, MBKM dan juga Dewan Industri Buku. Ramai yang ingin menjadi agensi pelaksana kerana projek ini mempunyai prestij, bukan sekadar komersil tetapi juga seni, budaya dan intelektual.

Apa implikasinya ?

Pada pendapat saya, kota buku mesti menjadi satu projek perdagangan buku yang bersifat komersil dan dinamik. Ia mesti berkonsepkan mall buku yang kontemporari. Pengurusan kota buku mesti aktif membuat pelbagai program, promosi untuk terus menarik minat kumpulan pembaca buku tempatan.

Kalau salah pengurusannya, Kota Buku Kuala Lumpur akan kalah bertanding dengan kedai buku megastore seperti MPH midvalley, MPH one utama, Popular sunway pyramid atau Kinokuniya KLCC.

Disini agensi pelaksana jadi sangat penting.

Pilihan 1 - Kementerian pendidikan. Pada pendapat saya kesan akhirnya akan jadi 'Musium Buku' kerana fokus kementerian adalah kepada aspek pendidikan.

Pilihan 2 - agensi kerajaan seperti MBKM atau DBP, yang kan menggunakan khidmat agensi lain seperti JKR untuk rekabentuknya. Kota buku akan berakhir seperti 'arked MARA'.

pilihan 3 - GLC. GLC hidup sebagai sebuah syarikat yang perlu mencatatkan keuntungan. Fokus mereka adalah bisnes. Kota buku akan jadi kedaibuku yang besar dan meriah. Negatifnya, aspek sosial, seni, budaya dan intelektual mungkin tidak akan mendapat perhatian yang besar.

Antara ketiga-tiga pilihan yang ada ini, saya pilih nombor 3. Serahkan kepada GLC seperti ITNM untuk menjadikan kota buku satu pusat perdagangan buku dan hakcipta yang aktif. Bila dagangan buku aktif dan sihat, maka aspek-aspek lain seperti seni, budaya dan intelektualnya akan lebih mudah untuk didanai.

Kota Buku tidak perlu mengemis untuk memenuhi objektif penubuhannya.



21 Mei, 2009

Petikan ucapan Menteri Pelajaran tentang Kota Buku

Berikut petikan ucapan TS Muhyiddin Hj. Mohd Yassin tentang Kota Buku pada 19 Mei 2009 semasa Majlis Pertemuan Bersama dengan Sasterwan Malaysia.

"Bersempena dengan pertemuan hari ini bersama penggiat sastera, iaitu golongan yang sangat cintakan ilmu dan menjadikan buku sebagai teman setia, maka elok benarlah bagi saya mengumumkan khabar gembira kepada semua penggiat sastera di negara ini. Kerajaan telah memutuskan untuk mewujudkan sebuah pusat berkelompok bagi menjalankan aktiviti dan urusan berkaitan dengan dunia buku secara lebih tersusun dan bersungguh-sungguh. Penubuhan pusat ini yang bakal dinamakan "Kota Buku" diharap akan menjadi satu nukleus bagi membolehkan para usahawan, persatuan dan perusahaan membabitkan buku beroperasi di bawah satu bumbung.

Kewujudan "Kota Buku" yang bakal dibangunkan di Kuala Lumpur diharap akan memberi manfaat yang besar kepada para sasterawan, penerbit, usahawan dan masyarakat pembaca di Malaysia, selain bermatlamat untuk membawa pulangan jangka panjang bagi menarik minat pengusaha buku Asia untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat dagangan buku utama di rantau ini. Pendek kata, 'Kota Buku' ini apabila beroperasi kelak bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur, sekaligus menjadi tarikan pelancong dengan imej sebagai Kota Raya Ilmu".

12 Mei, 2009

MPH Mutiara Minda - Program Pemasaran Gergasi Untuk Buku Melayu


Pada pendapat saya, ini program pemasaran buku melayu paling besar yang diumumkan setakat ini oleh mana-mana kedai buku.

Program 'MPH Mutiara Minda' ini ada beberapa komponen utama;

  1. Menaikkan jumlah ruang untuk buku bahasa Melayu di 9 outlet terpilih
  2. Pengikalan konsissten dalam Harian Metro & Berita Harian
  3. Menerbitkan katalog buku bahasa Melayu
  4. Penganjuran Pesta Buku / Karnival buku Mutiara Minda

Bagi komponen pertama, kita dimaklumkan di MPH Midvalley sendiri, seksyen buku bahasa Melayu dibesarkan dari 50 sq feet, kepada 2000 sq feet. Perluasan ruang ini sangat sangat besar dan pasti akan kelihatan dengan jelas kepada pembaca umum.

Buat masa ini MPH sudah melantik rakan medianya bermula dengan Harian Metro, dan Berita Harian akan menyusul. Sehingga kini, 8 orang penerbit tempatan telah bekerjasama dengan MPH untuk membuat iklan setiap minggu di Harian Metro.

Selepas ini Berita Harian juga dijangka akan menyiarkan iklan yang sama. Tetapi, saya terfikir bagaimana pula dengan program Popular Bookstore dengan BH? Popular selama ini ada program anugerah Buku Popular-BH yang bermula pada tahun lepas. Kalau MPH yang menjadi rakan media dengan BH, pasti mereka akan meminta ada semacam hak eksklusif dengan BH.

Kita akan melihat katalog MPH Mutiara Minda yang akan diedarkan kepada seluruh ahli-ahli MPH reader's card keturunan Melayu dan juga kawasan-kawasan strategik seluruh Kuala Lumpur. Katalog ini akan dilancarkan oleh MPH mungkin dalam bulan Ogos nanti. Katalog ini akan memfokus kepada promosi buku-buku yang sesuai denganh bulan Merdeka, bulan Ramadhan hingga ke Hari Raya dengan pelbagai Offer dan diskaun untuk pembaca buku Melayu.

Seterusnya, pesta buku MPH Mutiara Minda (untuk buku Melayu) juga akan dianjurkan di Shah alam dalam bulan Julai nanti di kawasan Shah Alam. Yang menjadi kekhuatiran kami, pesta buku nanti mungkin bertembung dengan Pesta Buku Selangor yang akan berlangsung dari 24 Julai hingga 3 ogos.

Apa yang dapat saya simpulkan, buku-buku bahasa Melayu hari ini sudah mendapat perhatian besar dari kedai-kedai buku utama. Kedai-kedai besar sudah melancarkan program pemasaran yang besar untuk menarik pembaca buku Melayu ke outlet mereka. Ini semua akan memberikan momentum kepada penerbit dan pengarang buku bahasa Melayu, disamping menyajikan pilihan yang lebih menarik kepada pembaca.

Saya percaya kedai buku tradisional perlu bangun dan melihat perkembangan ini dengan serius. Semua perkembangan ini boleh menyebabkan trend pembaca buku Melayu berubah, dan memilih megastore dengan pilihan lengkap berbanding kedai buku kecil.

07 Mei, 2009

Edisi Kindle Sekarang 35% Dari Jualan


Posting dan gambar dari silicon valley insider.


Banyak penerbit akan terkejut dengan statistik ini. Kindle ini relatifnya masih kecil, tetapi ada pelbagai lagi ebook reader yang akan melimpah dalam pasaran.

Seperti dalam artikel ini, penerbit akan cuba melihat jika edisi ebook akan merosakkan pasaran edisi kertas. Selagi harga ebook masih stabil dan menguntungkan, penerbit dan pengarang akan menyokong penuh edisi ebook. Yang kita khuatir jika berlaku diskaun besar-besaran dalam harga ebook vs harga edisi cetak.

Apa pun, ini jadi cabaran kepada pengedar dan penjual buku tradisional.

-----------------------

Dan Frommer reports:

Kindle sales are now 35% of book sales when Kindle editions are available. Huge jump in Feb when Kindle 2 went on sale.