Langkau ke kandungan utama

Hologram Al-Quran KDN; Satu Bentuk Cukai Baru Kepada Pembaca Al-Quran.


KEMASKINI. Tambahan satu poin lagi tentang cukai dua kali, dan sedikit edit.

-----------------------

Bermula pada 1 November ini, KDN telah memperkenalkan sticker Hologram yang mesti dilekatkan kepada semua Al-Quran yang ingin dijual di Malaysia.

Rujuk kepada berita
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/beli-al-quran-berpelekat-hologram-dilulus-kdn/

Menurut KDN, ini untuk mengatasi masalah Al-Quran yang tidak 'sah' dijual di Malaysia. Dari segi niatnya memang bagus dan patut kita semua sokong.

Tetapi, dari segi pelaksanaannya, kami mohon supaya dibuat kajian yang lebih dalam. Malah, saya rayu supaya menteri KDN yang selalu tersenyum itu supaya membatalkan warta ini.

Kenapa kami bantah stiker Hologram itu?

Banyak perkara tersirat, tidak ditulis dalam berita itu.

Saya mula dengan satu analogi: Seorang penjual ayam ditangkap di pasar Keramat kerana menjual ayam tidak disembelih kepada orang Islam. Serta merta menteri mengumumkan semua ayam di seluruh negara mesti ditampal hologram untuk memastikan ayam itu disembelih dan halal !

Ayam ini makanan hari-hari orang Malaysia.
Ayam dalam KFC/McDonald/Hipermarket juga perlu ditampal hologram.
Ayam di pasar borong selayang juga perlu tampal hologram.
Ayam di Kinabatangan, Sabah yang tidak ada kena mengena dengan penjual jahat pasar keramat juga kena tampal hologram.

Harga hologram itu RM1 setiap satu.

Dengan serta merta harga ayam naik di seluruh negara, akibat perbuatan jahat seorang penjual ayam di pasar  Keramat.

Setelah dijentik imaginasi kita dengan cerita ayam tadi, kita balik kepada isu ditangan. Ramai penerbit Al-Quran yang membantah kerana langkah ini akan menyebabkan harga Al-Quran naik, tanpa ada sebab yang munasabah.

Mohon saya jelaskan dari perspektif saya.

1. Harga stiker.

Harga stiker 'Tulen' yang digunakan untuk CD/DVD ialah 20 sen.

Harga stiker Al-Quran ialah RM1. Naik sebanyak 500%.

Mengikut lumrah normal teknologi, kos akan turun mengikut masa. Teknologi Hologram yang sudah dipakai beberapa dekad ini peliknya melambung mengikut masa.

Soalannya, kenapa ada 'mark-up' yang terlalu sehingga 500% berbanding dengan stiker Hologram 'Tulen' ?

Sebagai orang bisnes, bila melihat ada kos naik mendadak, terus terdetik 'Follow the money'.

Jangan kita lupa, ada berjuta-juta naskah Al-Quran beredar di pasaran sekarang.


2. Teknologi hologram gagal menangani masalah cetak rompak.

Dalam dekad 80-an dulu, teknologi stiker hologram ini boleh dikira sebagai teknologi canggih yang sukar ditiru. Hari ini teknologi ini sudah ketinggalan zaman.

Dari segi operasionalnya, teknologi ini juga terbukti gagal sama sekali dalam menangani masalah cetak rompak. Cetak rompak CD/DVD terus berlaku dengan berleluasa di pasaran.

Menjadi persoalan kita, kenapa teknologi yang terbukti gagal ini di'recycle'  kepada pembaca Al-Quran (dengan mark-up jauh lebih tinggi pada 500%) ?


Mungkinkah ada penyelesaian teknologi terkini yang lebih baik dan murah untuk masalah ini?

Atau mungkinkah broker stiker hologram ini lebih pandai dalam kerjanya?


3. Kos Hologram Akan Menyebabkan Harga Al-Quran Naik.

Saya khuatir, harga Al-Quran akan naik tanpa ada apa-apa sebab yang munasabah, kerana bentuk cukai baru ini.

Harga stiker Hologram itu RM1. Oleh kerana ia perlu ditampal pada semua Al-Quran yang dijual, ia menjadi satu komponen kos yang tetap dalam 'manufacturing cost' setiap naskah Al-Quran.

Senang cakap, harga sekeping stiker itu bersamaan seperti berpuluh-puluh helai kertas dalam buku. Atau lagi senang cerita, harga sekeping stiker itu sama dengan kos cetak dan kertas senaskah surah Yassin.

Ini bermakna penerbit terpaksa mengeluarkan modal tambahan untuk membeli, menampal, mengurus, jualan, tanggungan kredit dan sebagainya.

Akhirnya, ini akan menyebabkan harga jualan runcit Al-Quran kepada pengguna naik sekitar RM3.

Di zaman segala jenis kos hidup seperti rumah, makanan, pendidikan dan sebagainya naik, Menteri mestilah mengelak dari mengenakan sebarang jenis kos baru kepada rakyat - kecuali, jika benar-benar perlu.

Tidak ada sebab munasabah kenapa harga Al-Quran harus naik (kecuali disebabkan bentuk cukai baru Al-Quran ini).

Sepatutnya, Menteri mencari jalan untuk merendahkan harga Al-Quran untuk umat Islam di Malaysia. Kita mungkin tidak mampu untuk memberi Al-Quran percuma seperti Arab Saudi, tetapi janganlah kita mahalkan harga Al-Quran tanpa ada sebab yang munasabah.

Oh Ya, saya dimaklumkan yang Arab Saudi tidak menampal stiker Hologram pada Al-Quran mereka.

Menteri Al-Quran Malaysia yang selalu senyum sahaja yang memaksakan rakyatnya membayar kos stiker hologram untuk setiap Al-Quran yang mahu dibeli.


4. Langkah tidak adil : membantai rakyat yang tidak bersalah, memberi manafaat kepada lanun.

Persoalan yang cuba diselesaikan oleh KDN ialah isu Al-Quran yang dicetak rompak, yang diedarkan secara tidak 'sah' kerana tidak disemak oleh KDN. Ini satu perkara yang sangat baik, dan perlu kita sokong.

Mari kita fikirkan isu ini dengan logik.

a) Soalan: siapa yang mencetak rompak ini?
Jawapan: lanun.

b) Soalan: siapa yang kena tibai dengan stiker hologram ini?
Jawapan: pembaca Al-Quran yang mengikut peraturan, penerbit yang mengikut peraturan, kedai buku yang mengikut peraturan.

c) Soalan cepu emas: kenapa lanun (yang menjadi punca sebenar isu ini) tidak kena apa-apa tindakan? Kenapa orang lain yang menjadi mangsa? Mahu 'follow the money'?

d) Soalan yang perlu dijawab dikala tenang: Adilkah Menteri KDN membantaikan bentuk cukai Al-Quran kepada rakyat yang mengikut peraturan?

Langkah Menteri KDN ini memberi insentif kepada lanun-lanun cetak rompak, kerana harga Al-Quran cetak rompak kini jauh lebih murah dari Al-Quran 'sah' yang ditampal stiker Hologram.

Kalau kita lihat, ramai tokoh-tokoh masyarakat bersuara, Malaysia ini sebenarnya cukup hebat dan bagus dari segi membuat undang-undang. Terbaik! Tetapi, hampir sentiasa gagal membuat pelaksanaan.


5. Bagaimana dengan Al-Quran yang tidak dijual di kedai?

Alhamdulilah. Hari ini Al-Quran sudah tersebar luas dalam pelbagai format. Kompleksitinya jual beli Al-Quran juga bertambah.

a) Bagaimana dengan Al-Quran bentuk applikasi smart phone atau bentuk applikasi web?
Mahu ditampal di mana stiker itu nanti?

b) Bagaimana dengan Al-Quran yang digunakan di sekolah/kolej/universiti?
Siapa yang akan menanggung kosnya. Ini digunakan oleh pelajar, dan sepatutnya murah. Ada yang dibawah Kementerian Pendidikan, ada yang dibawah Kementerian Pelajaran Tinggi.

c) Bagaimana dengan Al-Quran yang dicetak untuk eksport?
Pembeli luar negara tidak peduli dengan hologram kita.

d) Bagaimana dengan Al-Quran yang dibeli dari luar negara?
Ramai jemaah haji yang membawa pulang naskah percuma atau naskah yang dibeli di luar negara.

Saya percaya, Menteri KDN yang sentiasa senyum dan bijaksana akan ada jawapannya.


6. Kenapa penerbit tidak boleh serap kos itu?

Kebanyakkan penerbit Al-Quran adalah perusahaan kecil dan sederhana. SMI. Bukan korporat besar atau syarikat kroni yang makan besar.

Keuntungan bisnes itulah yang digunakan untuk membayar gaji dan bonus kakitangan.

Tidak mungkin kita boleh kata kepada kakitangan "Untung kita tinggal sedikit tahun ini kerana ada cukai bentuk baru hologram Al-Quran. Bolehkah kita potong gaji dan bonus semua orang"?

Zaman ini ikan kembung pun RM10 sekilo. Belum lagi harga rumah. Gaji kena naik. Bukan turun.


7. Cukai Al-Quran sekarang, tidak lama lagi GST pula.

Kita semua tahu GST akan dilaksanakan tidak lama lagi. GST akan dikenakan kepada semua produk buku, termasuk Al-Quran.

Sedihnya, pembaca Al-Quran akan kena 2 kali cukai. Satu cukai bentuk baru oleh KDN. Dan, tidak lama lagi akan kena GST pula.

Orang lain kena GST sahaja. Pembaca Al-Quran bakal kena bantai 2 kali !


8. Big Picture.

Akhir sekali, saya mahu tarik perhatian pembaca kepada 'big picture' kita dalam isu Al-Quran ini.

Walaupun Al-Quran sudah tersebar luas, ada banyak lagi segmen yang belum menerima Al-Quran mereka. Contohnya, kawasan pendalaman, etnik monoriti, orang asli dan kumpulan mualaf.

Sepatutnya kita memikirkan cara
a) untuk memurahkan Al-Quran dalam pasaran secara mapan (bukan subsidi),
b) memikirkan insentif untuk menghasilkan Al-Quran dalam bahasa etnik,
c) dan mencari dana untuk memberikan Al-quran secara percuma kepada kumpulan yang terpinggir.

Saya rayu supaya Menteri KDN yang selalu senyum itu supaya jangan lupa dengan 'big picture' ini.

Jangan terlalu seronok memikirkan untung yang diraih dari menjual stiker hologram dan membantai rakyat (kumpulan yang mengikut peraturan).


Ulasan

SyaizulAmal berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
SyaizulAmal berkata…
Saya sangat setuju. Ia adalah 'No Brainer' decision.

Tidak perlu masuk court, tidak perlu bincang dalam meeting. Sudah terang lagi bersuluh.

Kepada Menteri, sila baca posting ini dan buang ego jauh-jauh. Buang kerja siapa yang mencadangkan perkara ini dan cari penasihat yang lebih baik.
Fadhil berkata…
Salam Arief,

Terima kasih atas posting yg baik ini. Sebelum ini saya tak tahu pun ada isu pasal keperluan sticker hologram pada setiap naskah Al-quran.

Oldstock K79
Unknown berkata…
Ulasan yang jujur dan mencairkan minda. Menteri dan Pegawai Kementeriannya perlu fikir dan buat keputusan dasar yg betul-betul berfaedah utk rakyat...salam
syam berkata…
Info yg bagus

Catatan popular daripada blog ini

Persatuan Penerbit Buku ASEAN (ABPA)

Asean Book Publisher Association adalah satu persatuan yang longgar, yang ahlinya terdiri dari beberapa persatuan penerbit utama seluruh ASEAN seperti Malaysian Book Publisher Association (MABOPA), PUBAT dari Thailand, IKAPI dari Indonesia, SBPA dari Singapura, DBP Brunei, PEPA dari Filipina. Ada juga beberapa orang wakil dari Vietnam, dan Laos. Menariknya, wakil dari Laos adalah sebuah syarikat swasta, Dokked, dan bukan persatuan. Menurut wakilnya, sangat sedikit penerbit buku di Laos, dan jumlahnya boleh dibilang dengan jari, dan syarikat keluarga beliau adalah penerbit paling aktif di Laos. Selain menerbit, mereka juga mengimport buku-buku dalam bahasa Thai untuk pasaran Laos. Kehadiran mereka sudah cukup melengkapkan jaringan ASEAN yang kita ada. Buat masa ini, ABPA dipengurusikan oleh Filipina. Untuk pusingan seterusnya 2 tahun dari sekarang, Malaysia akan mengambil kerusi presiden. Aktiviti utama ABPA pada masa ini adalah membuka gerai ASEAN di setiap pesta buku dalam rantau ini....

Siapa Perlu Beli Buku Teks Sendiri?

Ini soalan yang dijawab oleh BBT dalam perbincangan ringkas dengan Persatuan Penerbit beberapa hari lepas. 1. Pelajar MRSM. Sebagai bekas pelajar MRSM Kuantan, saya arif tentang keperluan kami pelajar MRSM. Semua buk teks kena beli sendiri. 2. Pelajar sekolah swasta lain. Sekolah antarabangsa, sekolah swasta islam, sekolah swasta cina, sekolah swasta pendidikan khas. Semua pelajar ini kena beli sendiri. Data ada di Bahagian Pelajaran Swasta (yang websitenya masih tidak diupdate dari tahun 2007) 3. Ibu bapa yang mahu anaknya guna buku baru. Mereka tidak mahu buku teks usang dari skim pinjaman. 4. Pelajar yang terpaksa membeli buku ganti kerana hilang/rosak dan sebagainya. Mesti beli buku baru. 5. Cikgu yang masih menuntut di Institut Latihan Guru. Semua orang-orang ini perlu kepada buku teks di pasaran terbuka. Masalah utama mereka ialah kebanyakkan kedai buku tidak lagi menjual buku teks, sejak menteri mengumumkan dasar buku teks percuma untuk semua. Alasan pekedai buku ialah tidak ada...

Statistik membaca rakyat Malaysia

Petikan dari Utusan hari ini, bawah entri USIM perkayakan buku tempatan. ------------------------ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm Oleh W. Rahimah Draman Hasil kajian profil membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 1996 itu tidak banyak berubah apabila perangkaan tahun 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India. Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar. Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan oleh perangkaan PNM itu pula, hanya 1,273 atau 32 peratus sahaja buku ilmiah yang dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bah...