Bapak Menteri masih lagi buat tak faham, atau sengaja tidak faham kenapa ramai orang mebantah dasar PPSMI.
Mungkin betul dia kurang faham. Maka atas dasar berbaik sangka, saya cuba buatkan satu FAQ mudah.
Saya tahu bahawa soal bahasa ini sensitif. Tetapi, jangan campur aduk pemikiran kita dalam hal ini dengan prejudis peribadi, emosi, sampah kolonialisma, dan minda terjajah.
Dari pemerhatian saya, yang menyokong hanya beberapa kerat sahaja, dan hampir semua atas sebab yang emosional - 'Nanti kita ketinggalan' atau 'Nanti anak kita tak boleh belajar sains dan teknologi sebab semua buku dalam bahasa Inggeris'. Kalau penyokong PPSMI ramai sangat, sila tunjukkan diri anda dengan cara demokratik, pergi berarak supaya anda boleh dibilang. Saya belum jumpa penyokong yang objektif, atas sebab mahu memperbaiki pengusaan bahasa Inggeris anak kita.
Berkali-kali kumpulan GMP menjelaskan bahawa kita bukan anti bahasa inggeris. Semua tokoh-tokoh yang kedepan dalam GMP itu cakap, belajar, baca buku, berdebat dan menggunakan bahasa Inggeris. Konsumsi bahasa Inggeris mereka jauh lebih banyak dari pengguna purata di Malaysia. Mustahil mereka itu 'anti bahasa inggeris'. Tetapi, kita faham bahawa bahasa Inggeris ini satu alat, bukan ideologi.
Yang kita mahu dengar ialah pemikiran yang rasional dan objektif dalam debat ini. Pemikiran yang boleh faham konsep 'cara terbaik mengajar bahasa ialah dalam kelas bahasa'.
Saya doakan Pak Menteri saya mendapat kecerahan dalam hal ini. Kalau kurang kecerahan, saya cuba jawap debat mudah (tetapi sengaja dikusutkan dengan round table, mengusik markah peperiksaan dan cakap-cakap rasis) ini dengan cara FAQ dibawah;
--------------
1. Kenapa penguasaan bahasa Inggeris jatuh?
Soalan mudah, apa sebab penguasaan bahasa Inggeris turun di sekolah?
Jawapan mudah, kerana kualiti kelas bahasa Inggeris jatuh teruk. Habis.
Sampai hari ini, selama 6 tahun, saya langsung tidak dengar sama sekali cadangan dari Menteri bagaimana beliau mahu menaiktaraf kelas bahasa Inggeris di sekolah.
Masalah ini tidak sepatutnya timbul setelah 50 tahun merdeka. Dengan pemantauan kualiti (QC) yang betul, kita sepatutnya sudah berjaya menghasilkan guru, alatan mengajar dan pedagogi yang betul untuk mengajar bahasa Inggeris di sekolah.
Probing question, kenapa kita masih gagal mengajar bahasa Inggeris dengan betul dan berkesan selepas 50 tahun?
Seterusnya, apa sudah jadi dengan jabatan pengajaran bahasa Inggeris di kementerian?
Apa sudah jadi di universiti dan kolej perguruan yang menghasilkan graduan dalam TESL/ELT?
Adakah kita tidak memberikan sumber yang cukup kepada guru, institusi latihan dan program pengajaran bahasa Inggeris kita?
Bapak Menteri kita nampaknya tidak ada kekuatan mental dalam bertanyakan soalan-soalan probing yang pergi kepada dasar masalah ini.
Sebaliknya, kita pilih jalan mudah, humban wang rakyat ke dalam longkang (atau ke poket orang tertentu) menjalankan satu eksperimen yang tidak viable.
Jika kita ada kebijakan untuk membuat probing questions tadi dan seterusnya melabur dalam membetulkan/naik taraf kelas bahasa Inggeris di sekolah, pulangan yang kita akan dapat pasti jauh lebih superior - lebih cepat, lebih cost efective.
2. Apa cara nak belajar bahasa Inggeris yang betul?
Senang, masuk dalam kelas bahasa Inggeris yang baik. Yang ada cikgu yang bagus, yang cukup masa pengajarannya, yang metod pembelajaran yang seronok dan berkesan.
Bagi yang tak faham juga, saya bagi satu contoh sinikal dalam kehidupan sehari-harian kita.
Satu hari ada orang datang jumpa saya dengan soalan, "saya nak belajar bahasa Zulu, macam mana nak buat ye?"
Maka saya yang bijak ni jawap, "Kau pergilah masuk kelas sains dan matematik dalam bahasa Zulu, mesti kau cepat pandai cakap Zulu".
Kalau anda pun percaya hujah bijak saya dalam contoh Zulu diatas, anda pasti sama bijak macam saya. Nasib baik banyak kelas-kelas bahasa swasta (jenis kena bayar kalau nak masuk tu) yang kurang bijak di Malaysia ini tak guna kaedah Zulu saya. Mungkin itu sebab mereka maju dalam bisnes language class mereka.
Bayangkan kalau tokeh-tokeh kelas itu mengamalkan kaedah Zulu saya yang bijak tu!
Sekolah? itu lain, mereka semua kena paksa pakai kaedah Zulu saya yang bijak tu.
3. Sebab apa tak boleh ajar bahasa Inggeris dalam kelas matematik dan sains?
You cannot teach grammar, vocabulary or literature in maths or Science class. Ada faham prinsip asas ini?
Pergi tanya cikgu bahasa inggeris apa maksud jawapan saya diatas tu.
4. Kemajuan mesti menggunakan bahasa Inggeris.
Ini satu aliran pemikiran yang simplisitik, yang sangat lemah.
Orang - orang ini menafikan bahawa ada banyak faktor yang menjana kemajuan ekonomi, teknologi dan budaya begitu banyak negara di dunia. Dinamik faktor-faktor bukan bahasa Inggeris ini lebih penting dalam menjana kemajuan kita.
a) Ada banyak negara mundur/miskin, menggunakan bahasa asing di dalam sistem pendidikannya (dan banyaknya bahasa Inggeris). Rujuk banyak negara di benua afrika. Kesimpulan, Bahasa Inggeris semata-mata tidak boleh jadi bahasa kemajuan. Malah, ini boleh jadi commmon factor yang menyebabkan kemunduran dalam pendidikan mereka, dan akhirnya membawa kemiskinan dalam ekonomi mereka.
b) Ada banyak negara maju di dunia, Jepun, Korea, finland, German dan lain-lain yang secara dominan menggunakan bahasa mereka sendiri. Mereka maju dari segi teknologi, kaya dari segi ekonomi, dan memiliki kebudayaan yang tinggi. Kesimpulan, bahasa Inggeris semata-mata tidak boleh menjadi bahasa kemajuan. Malah, penggunaan bahasa ibunda di negara maju itu mungkin common factor kemajuan pendidikan , dan seterusnya ekonomi dan budaya mereka.
Menggunakan alasan mahu maju mesti guna bahasa Inggeris ini sangat daif dan simplisitik. Satu penjelasan kepada hal kumpulan yang percaya bahawa bahasa Inggeris ialah pil magik untuk menjana kemajuan, adalah kerana minda mereka yang masih terjajah oleh idea-idea zaman kolonial dulu.
Kumpulan orang-orang yang merdeka, terbuka, futuristik dan kritikal akan mengakui bahawa ada banyak faktor yang memangkin perkembangan negara, dan bahasa Inggeris hanya salah satu alat yang kita perlukan - bukan holy grail, bukan magic pill. Orang-orang yang maju ini juga mengakui bahawa ada banyak bahasa dunia yang akan menjadi penting kepada perkembangan Malaysia dalam dekad-dekad yang mendatang - bukan eksklusif satu bahasa ini.
4. Aduh, Sudah terlalu banyak belanja menjalankan PPSMI.
Kita orang bisnes. Kalau satu pelaburan itu memakan sumber yang terlalu banyak, tetapi memberikan pulangan yang rendah - buang model itu. Model itu tidak jalan, atau merupakan satu model perniagaan yang tidak efisyen. CEO mesti berani membuat perubahan radikal dalam model perniagaan jika mahu terus kekal.
Sama dalam kes PPSMI ini. Kita mesti berani ambil keputusan bahawa metod ini adalah satu kes pelaburan yang bodoh. Cari model baru yang lebih efektif dalam mengajar bahasa inggeris kepada pelajar kita.
Kompas kita mesti melihat ke depan. Mana yang sudah hangus itu, jangan ditambah-tambah lagi kosnya. Cari model baru yang lebih bijak.
Dump the stupid model!
-------------
Ulasan
p/s: Patut ler agaknya matematik dan sains aku tak berapa bijak, sebab dulu belajar dalam BM. huhuhuhh
Tetapi kita di Tanah melayu ini, adakah kita setaraf dengan Jepun? Saya berani kata, tidak ada satu pun kursus (sains dan teknologi) di Universiti yang tidak akan merujuk ke buku berbahasa Inggeris. Malahan, sebaik saja kita masuk tahun 1 di Universiti, boleh katakan 98% buku rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.
Saya tanya, berapa lama masa negara kita dapat setaraf dengan Jepun dalam punggunaan bahasa sendiri dalam pembelajaran sains dan teknologi? Tanah Melayu dah merdeka selama 52 tahun, berapa banyak buku sains dan teknologi yang kita (orang Malaysia sendiri) telah tulis dalam bahasa Melayu? Atau senang kira, berapa banyak buku bahasa Inggeris yang telah kita terjemahkan ke bahasa Melayu selepas kita Merdeka?
Setiap hari bilangan buku atau kertas kajian sains dan teknolgi yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris amatlah banyak. Cuba bayangkan setiap hari ada 2 buku dan 5 kertas kajian, setahun ada berapa? Cukup kah rakyat tanah melayu untuk menterjemahkan semua ini dalam bahasa melayu, jika cukup pun berapa lama masa yang diambil?
Mungkin penyokong PPSMI mengambil jalan mudah untuk terus belajar sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris. Tapi bagi penentang PPSMI apakah counter offer anda?
Saya ada anak yang sedang membesar dan saya tidak akan benarkan anak saya keliru oleh kerana kita tidak sepakat dalam bahasa apa yang patut anak saya belajar utuk memajukan tanah melayu ini.
Bezakan isu disini;
1) pengajaran bahasa inggeris (saya sudah ulas dalam artikel), dan
2) pengajaran sains dan matematik, dan saya utarakan pendapat saya dibawah.
Untuk pengajaran peringkat SK dan SMK, kita sudah ada bahan, metodologi, dan alat bantu mengajar yang lengkap dalam bahasa Melayu. Semua sudah disediakan oleh kerajaan. Ternyata dasar ini berjaya kerana pencapaian pelajar kita dalam subjek ini semasa menggunakan bahasa Melayu cukup baik. Malah cukup berjaya jika dibenchmark dengan standard antarabangsa.
Untuk pengajaran peringkat universiti, itu amat bergantung kepada universiti mana yang kita pergi. Jika kita ke jepun, pasti kena guna bahasa jepun, dan jika ke US, maka perlu guna bahasa Inggeris.
Jika asas bahasa Inggeris kita kukuh (hasil dari kelas bahasa Ingeris yang baik), pasti kita tidak akan ada masalah. Sama juga seperti pelajar Japanese foundation, mereka tidak ada masalah belajar di jepun kerana ada asas yang baik.
Counter offer kita adalah - betulkan, perkuatkan kelas bahasa Inggeris di sekolah-sekolah yang prestasinya lemah sekarang. Berikan wang, latihan, bahan dan masa untuk guru bahasa Inggeris menalankan tugas mereka dengan baik.
Pasti kita dapat selesaikan masalah ini.