19 April, 2008

MECD - Apa bantuan yang industri boleh mohon?

Pada Pesta Buku yang lepas, Datuk Saifuddin, Timbalan Menteri MECD ada membuat pertemuan dengan wakil-wakil dari industri buku. Soalan beliau, di tafsir semula "Apa yang MECD dan agensi-agensi dibawahnya boleh lakukan untuk membangunkan industri buku di Malaysia?"

Sebagai latarbelakang kepada pembaca, saya senaraikan beberapa persatuan yang releven dalam konteks bantuan dari MECD.

  • Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) www.mabopa.com.my
  • Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA)
  • Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia
  • Persatuan Kontraktor Buku Malaysia - ahlinya terdiri dari pembekal buku kepada perpustakaan dan agensi kerajaan.
  • Persatuan Pencetak Bumiputera
  • Dewan Industri Buku Melayu
  • Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera (dulunya pernah wujud sebagai IKATAN).
Usaha ini akan dikoordinasikan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), sebagai agensi kerajaan bawah Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab untuk mengembangkan industri buku di Malaysia.

Ada 4 bantuan utama yang akan dipohon oleh industri, dalam rangka kerja MECD;
  1. Bantuan latihan dan pembangunan sumber manusia (HR) - memohon dana untuk menganjurkan pelbagai program latihan yang melibatkan profesional dalam industri seperti pengurusan, editorial, rekabentuk, pemasaran, jualan dan peruncitan.
  2. Bantuan modal pusingan dan modal perniagaan - memohon dana khusus/dana pembangunan dan perhatian khusus dari bank-bank dibawah MECD untuk industri buku. Saya secara peribadi berpendapat dana dari bank SME itu ada, tetapi jenis dana dan mekanismanya tidak sesuai untuk industri buku yang bersifat servis dan trading. Kebanyakkan dana yang sedia ada lebih bersifat pembiayaan kontrak dan pembelian aset.
  3. Bantuan dana pemasaran - memohon dana untuk industri buku tempatan melaksanakan program pemasaran yang melibatkan media massa tempatan, termasuk aktiviti PR dan A&P.
  4. Bantuan dana R&D - ini satu aspek yang industri buku sangat ketinggalan. Tidak banyak kajian ilmiah dalam aspek pembacaan, jualan buku, pasaran, dan pasaran eksport yang ada.
Seperti yang dijelaskan oleh Timbalan menteri, konteks bantuan yang dipohon itu mestilah bawah bidang kuasa MECD, dan agensi-agensi dibawahnya.

Kepada pembaca budiman, Apakah perkara-perkara lain yang industri boleh pohon dibawah rangka kerja MECD?

Saya sendiri tertanya-tanya, adakah MECD mempunyai ahli ekonomi (economist) dalaman yang membuat kajian dan merancang rangka kerja bagaimana pembangunan industri dijalankan, dan apakah measurable result yang akan dicari.

2 ulasan:

ramly1 berkata...

Sdr Arief,

Saya amat tertarik dengan tulisan sdr dan terpanggil untuk menulis komen dalam blogs sdr yang bertanya apakah bantuan yang boleh industri buku mohon dari MECD. Terlebih dahulu rasanya tak perlu saya memperkenalkan diri kerana sdr memang telah mengenali diri saya yang telah berkecimpong lebih 20 tahun dalam industri perbukuan- telah merasa pahit jerih industri ini dan saya masih lagi terus merjuangkan kemajuan industri buku tempatan supaya dapat diletakkan dipersada dunia.

Saya melihat industri buku ini amat penting sebagai sebuah industri ilmu dan industri budaya serta menjadi teramat penting dalam konteks pembangunan modal insan dan pembentukan negara bangsa. Malangnya dari segi perancangan dan pembangunan negara, industri buku masih terpinggir dan menjadikan industri ini bergerak sendiri tanpa mendapat sokongan dan dokongan yang padu terutamanya dari agensi-agensi pelaksana. Meskipun industri buku mempunyai sebuah majlis (MBKM) dan Dasar buku Negara (DBN) yang indah dari rupa tetapi dari segi bidang kuasa, skop tugas dan pelaksanaannya masih terumbang ambing. Apakah cukup MBKM sekadar menguruskan pesta buku (KLIBF) atau masih banyak lagi peranan dan tanggung jawab seperti di gariskan dalam Dasar Buku Negara (DBN) masih belum dilaksanakan. Kalau kita mahu industri buku maju dan berjaya seperti industri-industri lain juga maka MBKM mestilah bertindak proaktif serta menjadi penghubung industri buku dengan agensi-agensi pembuat dasar dan pelaksana seperti DBP, ITNMB, PNM Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, MATRADE, persatuan-persatuan dalam industri buku dan lain-lain yang berkaitan. Disamping itu setiap pemain dalam industri ini juga mesti berusaha meningkat dan memajukan kegiatan supaya industri buku mampu berkembang dan maju sebagai sebuah industri yang penting.

Marilah sama-sama kita renungkan. Atas sifat industri ini yang baru maka saya melihat perlu adanya penyelarasan dari agensi-agensi kerajaan yang mempunyai keazaman yang tinggi dan kesungguhan yang jitu untuk memajukan industri buku- iaitu industri ilmu dan juga boleh dikatakan industri budaya kerana buku dapat memberikan gambaran tentang negara bangsa (Malaysia).

Dalam konteks bidang kuasa MECD-khususnya melalui agensi-agensi dibawahnya seperti MARA, Bank Rakyat, PUNB, PNS, dan lain-lain yang berkaitan telah dan akan terus membantu usahawan. Cuma dalam konteks industri maka industri buku juga perlu diberi perhatian utama kerana ianya juga berkait rapat dengan hasrat dan perancangan kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang.

Pada hakikatnya industri buku ini dilihat sebagai industri kecil (sememangnya masih bersifat IKS), tiada prospek dan mempunyai risiko yang cukup tinggi. Cubalah sdr dan rakan-rakan yang terlibat dalam penerbitan atau pemasaran buku memohon dana (kewangan) dari agensi-agensi berkenaan. Pelbagai alasan diberikan dan mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan keputusan. Keputusan boleh dijangka- kebanyakannya gagal kerana pasaran buku tidak pasti dan berisiko tinggi kecuali telah mendapat kontrak kerja dari pihak kerajaan. Cuba sdr lihat dalam industri-industri lain seperti pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan penternakan juga berisiko tinggi. Malah pertanian dan penternakan lebih terdedah kepada faktor alam yang sukar diramalkan. Pentingnya disini bagaimana pembuat dasar memahami tentang industri buku ini dan dapat pula membuat anggaran risiko (calculated risks). Malah industri buku juga mempunyai prospek pertumbuhan yang baik dan pasaran yang cukup luas malah lebih baik dari sesetengah industri lain. Tetapi masalah kekurangan dana (kewangan) merupakan salah satu faktor yang sering menjadi hambatan untuk mencapai pertumbuhan yang tinggi, kerana sifat industri ini kebanyakannya diterajui oleh IKS.

Maka cadangan saya supaya MECD dapat membantu dari segi:

1. Melahirkan lebih ramai usahawan buku terutama yang terlibat pada peringkat huluan dan hiliran. Jadikan usahawan buku sebagai kerjaya menarik dan mempunyai jaminan yang baik kerana mereka juga mendapat faedah didunia dan pahala diakhirat nanti. Fokus boleh ditumpukan kepada kumpulan siswazah kerana industri buku memerlukan mereka yang berilmu, berwawasan dan komited.

2. Merancang dan menyediakan ruang-ruang perniagaan buku dalam kompleks perniagaan yang dibangunkan oleh MARA dan UDA. Sediakan peruntukan dan kadar sewa yang berpatutan supaya mampu dimanfaatkan oleh usahawan buku. Begitu juga bank SME membantu usahawan buku dalam penempatan premis dan kilang-kilang percetakan dan yang berkaitan dengan industri buku.

3. Memperluas dan mempermudahkan skop pembiayaan Prosper dan Pemborong PUNB supaya dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan yang terlibat dalam industri buku. Pegawai-pegawai MECD perlu mengubah minda dan persepsi supaya melihat industri buku seperti industri lain yang juga amat penting dalam pembangunan negara. Gunakan anggaran dan pengiraan risiko industri yang lebih realistik dan bersifat membantu industri buku. Begitu juga peranan PERNAS ditingkatkan supaya dapat melahirkan lebih ramai franchaisor dan franchaise buku bumiputera.

4. Menyediakan dana khusus bagi industri buku dan mempermudahkan penyaluran dana oleh bank SME, tabung usahawan MARA, CGC, PERNAS dan sebagainya kearah melahirkan usahawan buku yang berkualiti dan berjaya. Usahawan buku boleh menggunakan dana sebagai modal perniagaan- samada modal asas, modal pusingan, modal mengembangkan perniagaan, modal pembelian aset (mesin dan peralatan), modal R&D dan sebagainya.

5. MARA membantu mewujudkan networking terutamanya usahawan-usahawan Melayu yang terlibat dalam industri buku pada peringkat industri huluan dan industri hiliran. Suatu hubungan yang bersifat kesatuan dan kerjasama perlu wujud antara pembekal kertas/ bahan cetak dengan pencetak, pemborong dan peruncit. Kerjasama dan komited ini boleh membantu mengurangkan kos dan meningkatkan pasaran mereka.

6. Pusat-pusat latihan dibawah MECD seperti UNIKL, ISKEN, UITM, kolej-kolej MARA, Pusat Giat MARA juga boleh membantu melatih tenaga kerja dalam industri buku- dalam bidang pengurusan, editorial, pengeluaran, percetakan, pemasaran dan jualan terutama bagi menangani kemajuan ICT yang menjurus kepada penerbitan elektronik (e-books), periklanan elektronik dan juga perdagangan elektronik (e-commerce).

7. Membawa usahawan buku dalam misi mencari pasaran diluar negara bagi mengenalpasti teknologi terbaru dan mengembangkan pasaran diluar negara. Melibatkan juga usahawan buku dalam showcase yang dianjurkan oleh MECD dan agensi-agensinya terutamanya didalam dan luar negara.

Semoga pandangan dan cadangan ini akan membawa manfaat dan kebaikan kepada semua khususnya industri buku tempatan. Terima kasih.


Hj Mohd Ramly Ngah Idris
Pengarah Urusan dan Perunding

Arief Hakim berkata...

Tuan Haji, terima kasih atas cadangan yang diberikan. Persatuan akan masukkan dalam kertas yang sedang disedakan untuk MeCD.