Kedai buku Borders akan menubuhkan pejabat pembelian yang berpusat di Malaysia dalam bulan September ini. Sebelum ini, kedai buku Borders membuat pembelian dari ibu pejabat di Singapura.
Di Malaysia, franchais Borders dipegang oleh Berjaya Books Sdn Berhad - salah satu anak syarikat Berjaya Corporation.
Dengan menubuhkan pejabat pembelian di Kuala Lumpur, mereka dijangka akan membeli lebih banyak buku terbitan dan tulisan tempatan. Mereka juga dijangka akan membuka lebih banyak ruang kepada pembekal tempatan untuk masuk ke dalam rangkaian mereka.
Ini adalah satu berita baik kepada industri buku Malaysia. Pembeli (saya merujuk kepada pegawai yang ditugaskan untuk memilih dan membeli buku dari pembekal, bukan pembeli runcit atau pembaca) yang berada dekat dengan pasarannya akan lebih faham keperluan pembaca Malaysia. Dan pastinya kita mahu lebih banyak kedai buku korporat seperti Borders untuk menyokong industri penerbitan Malaysia.
Sehubungan dengan penubuhan pejabat pembelian baru itu, operasi back office yang sebelum ini dijalankan dari Borders Berjaya Times Square akan berpindah ke pejabat baru yang terletak di Damansara. Kedai buku Border di Berjaya Times Square juga akan direnovasi dalam tempoh terdekat ini.
Tahniah kepada Berjaya Books, dan selamat maju jaya.
Ulasan
Tapi, bagaimana pula jika kedai buku sendiri menjadi penerbit, seperti yang dilakukan oleh MPH?
Tidakkah ini akan menjejaskan para penerbit?
Bagaimana jika rangkaian kedai buku lain seperti Popular dan Borders mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah MPH, iaitu menjadi penerbit buku?
Maaf kerana bertanyakan soalan yang agak ’merunsingkan’ ini. Saya sekadar ingin tahu. Mohon pandangan saudara Arief yang memang pakar dalam bidang ini.
Terima kasih.
- Ashadi Zain
MPH ada anak syarikat yang terlibat dalam penerbitan buku umum. Popular Bookstore juga ada anak syarikat yang terlibat dalam penerbitan buku kanak-kanak. Malah, Borders juga ada menerbitkan edisi Border untuk karya-karya klasik dunia yang sudah ada dalam public domain. Trend yang saya katakan sebagai 'store brand' ini saya percaya akan berterusan.
Saya lihat penglibatan kedai buku ini tidaklah merunsingkan penerbit.
Pertama, kreativiti dalam penulisan dan penerbitan buku sebenarnya luas. Bakat yang diberikan oleh Allah itu tidak terhad kepada sesuatu syarikat sahaja. Mana-mana penerbit yang lebih responsif kepada selera pembaca akan kehadapan.
Kedua, soal core competencies. Boleh kita lihat yang sebenarnya produk oleh syarikat penerbitan dedikasi lebih kompetatif dan baik berbanding produk yang diterbitkan oleh kedai buku. Ini adalah core competency masing-masing.
Ketiga, saya fikir produk taraf komoditi boleh dihasilkan oleh kedai buku, dan dijual dengan harga murah oleh kedai itu sendiri. Tetapi, produk yang tahapnya lebih tinggi, atau produk premium akan perlu kepada penerbit dedikasi.
Yang paling penting, kita masih jauh lagi sebelum mencapai saturasi. Kita perlu sekurang-kurangnya 24 ribu tajuk baru setahun. Pada masa ini kita hanya menerbitkan lebih kurang 11 ribu sahaja tajuk baru setahun. Masih banyak lagi ruang.
Arif
Itu memang salah satu kelemahan Borders yang sangat fokus kepada buku US. Harapan saya selepas ada Purchasing office di damansara nanti, mereka akan mula berubah.
Kalau kita lihat, kedai-kedai berangkai lain juga mengalami masalah yang sama pada peringkat awal.
Semakin lama, kakitangan mereka semakin mahir, dan pengurusan mula memberi tumpuan lebih kepada seksyen buku tempatan yang berkembang pesat. Insyaallah.