Langkau ke kandungan utama

Mari Cakap Soal Ekonomi Sekarang.

Debat soal kenaikan harga minyak antara Anwar Ibrahim dan Shabery Cheek pada 15 Julai ini akan diteruskan menurut TheStar.

Pada pendapat saya ini adalah perkara yang baik untuk politik Malaysia. Ada juga pendapat-pendapat yang mengatakan sebaiknya jangan diadakan debat ini dengan alasan tidak ada kebaikan untuk rakyat. Menurut laporan Utusan ini, lebih baik kita semua cakap soal liwat, atau Altantuya sahaja!

Kalau saya boleh bagi satu sebab : debat Anwar-Shabery ini akan menukar pemikiran orang Melayu tentang ekonomi.

Sebelum ini, politik Melayu hanya berkisar soal 'ketuanan', 'kedaulatan' - cakap retorik biasa. Politik orang Melayu tidak pernah dengan serius membincangkan isu pendidikan atau ekonomi yang sebenarnya penting kepada pembangunan bangsa. Ini berbeza dengan politik kaum Cina di Malaysia yang sangat mementingkan prestasi ekonomi dan kualiti pendidikan anak-anak mereka. Rujuk saja manifesto MCA dalam pilihanraya lepas.

Debat Anwar-Shabery ini berkisar pada topik ekonomi. Sepanjang ingatan saya, inilah kali pertama persoalan ekonomi akan dibincangkan untuk tatapan rakyat jelata dengan terang-terangan di kaca TV. Pandangan mainstream Shabery dan pandangan kontrararian Anwar akan diutarakan dalam format popular untuk penilaian semua lapisan masyarakat.

Pemilihan presiden luar negara biasa sahaja mempertaruhkan kebijaksanaan calon dalam mengutarakan polisi ekonomi mereka. Obama dan John McCain contohnya mengutarakan polisi dan rancangan ekonomi mereka dalam banyak rancangan TV dan temuramah. Mereka masing-masing berbicara bagaimana mereka akan membetulkan ekonomi Amerika yang sedang parah ini. Baca Obama disini (FORTUNE What Obama Means For Business), dan McCain disini (FORTUNE The Evolution Of John McCain).

Seingat saya ini tidak pernah berlaku di Malaysia. Ini kali pertama, seorang ahli politik yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri akan diletakkan di kaca TV untuk mengutarakan polisi ekonomi beliau. Kali ini kita akan lihat apa polisi ekonominya, siapa penasihat dan ahli ekonomi beliau, dan apakah rancangannya untuk memajukan ekonomi Malaysia. Harapan saya jangan Anwar cakap kosong 'Bagi saya jadi Perdana Menteri dulu, baru saya buat'. Kita mahu lihat apakah rancangan beliau, dengan maklumat dan data yang menyokong hujahnya.

Sebaliknya, saya mengharapkan Perdana Menteri, atau bakal Perdana Menteri Najib yang akan menjadi lawan Anwar dalam debat begini. Mari kita dengar apa pula rancangan bakal Perdana Menteri ini untuk memajukan ekonomi Malaysia, dan mengatasi masalah inflasi komoditi dunia. Hanya tinggal 2 tahun sahaja sebelum beliau mengambil alih tempat PakLah (Adakah turun menurun kuasa jawatan Presiden ini sah dari segi perlembagaan parti itu perlu dibicarakan dalam artikel lain). Adakah beliau ada rancangan yang baik? Atitud tipikal pemerintah, 'aku kerajaaan, maka aku tahu apa yang terbaik' itu tidak boleh dipakai lagi sekarang.

Semoga debat-debat yang substansial begini akan dibanyakkan di masa depan. Kesannya nanti, orang Melayu akan mula berfikir dan berbicara soal-soal baru seperti falsafah ekonomi, polisi ekonomi kerajaan, percukaian dan juga kesan polisi ekonomi dalam kehidupan seharian kita. Pemahaman baru ini akan membolehkan kita berbicara soal DEB atau dasar diskriminasi positif dengan lebih bijaksana, tanpa momok-momok kehancuran bangsa.

Apa pun, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada menteri penerangan kita sekarang yang nampaknya ada kecerahan dalam pemikirannya. Pada pendapat saya beliau bersikap terbuka, melihat kehadapan dan responsif kepada kehendak golongan baru dan muda dalam masyarakat.

Selamat berdebat!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Secara peribadi, saya rasa cukup gembira mendengar keputusan bagi mengadakan debat ini. Ini perkembangan yang baik kepada politik Malaysia. Biar rakyat mendengar pandangan (pastinya perlu konstruktif dan membina) tokoh-tokoh pemimpin mereka ini dan kemudian menilai, mana yang sesuai dan mana yang tidak. Daripada sinilah, rakyat juga dapat menilai, siapa yang layak dan siapa yang tidak, siapa yang cakap kosong dan siapa yang lebih berpijak di bumi nyata, siapa yang memandang politik sebagai matlamat dan siapa yang melihat politik sebagai instrumen.

Saya pasti tidak akan dapat melepaskan peluang menonton debat ini.

Catatan popular daripada blog ini

Persatuan Penerbit Buku ASEAN (ABPA)

Asean Book Publisher Association adalah satu persatuan yang longgar, yang ahlinya terdiri dari beberapa persatuan penerbit utama seluruh ASEAN seperti Malaysian Book Publisher Association (MABOPA), PUBAT dari Thailand, IKAPI dari Indonesia, SBPA dari Singapura, DBP Brunei, PEPA dari Filipina. Ada juga beberapa orang wakil dari Vietnam, dan Laos. Menariknya, wakil dari Laos adalah sebuah syarikat swasta, Dokked, dan bukan persatuan. Menurut wakilnya, sangat sedikit penerbit buku di Laos, dan jumlahnya boleh dibilang dengan jari, dan syarikat keluarga beliau adalah penerbit paling aktif di Laos. Selain menerbit, mereka juga mengimport buku-buku dalam bahasa Thai untuk pasaran Laos. Kehadiran mereka sudah cukup melengkapkan jaringan ASEAN yang kita ada. Buat masa ini, ABPA dipengurusikan oleh Filipina. Untuk pusingan seterusnya 2 tahun dari sekarang, Malaysia akan mengambil kerusi presiden. Aktiviti utama ABPA pada masa ini adalah membuka gerai ASEAN di setiap pesta buku dalam rantau ini....

Siapa Perlu Beli Buku Teks Sendiri?

Ini soalan yang dijawab oleh BBT dalam perbincangan ringkas dengan Persatuan Penerbit beberapa hari lepas. 1. Pelajar MRSM. Sebagai bekas pelajar MRSM Kuantan, saya arif tentang keperluan kami pelajar MRSM. Semua buk teks kena beli sendiri. 2. Pelajar sekolah swasta lain. Sekolah antarabangsa, sekolah swasta islam, sekolah swasta cina, sekolah swasta pendidikan khas. Semua pelajar ini kena beli sendiri. Data ada di Bahagian Pelajaran Swasta (yang websitenya masih tidak diupdate dari tahun 2007) 3. Ibu bapa yang mahu anaknya guna buku baru. Mereka tidak mahu buku teks usang dari skim pinjaman. 4. Pelajar yang terpaksa membeli buku ganti kerana hilang/rosak dan sebagainya. Mesti beli buku baru. 5. Cikgu yang masih menuntut di Institut Latihan Guru. Semua orang-orang ini perlu kepada buku teks di pasaran terbuka. Masalah utama mereka ialah kebanyakkan kedai buku tidak lagi menjual buku teks, sejak menteri mengumumkan dasar buku teks percuma untuk semua. Alasan pekedai buku ialah tidak ada...

Statistik membaca rakyat Malaysia

Petikan dari Utusan hari ini, bawah entri USIM perkayakan buku tempatan. ------------------------ http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm Oleh W. Rahimah Draman Hasil kajian profil membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 1996 itu tidak banyak berubah apabila perangkaan tahun 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India. Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar. Daripada 10,310 judul buku berdaftar setahun yang dihasilkan oleh perangkaan PNM itu pula, hanya 1,273 atau 32 peratus sahaja buku ilmiah yang dikategorikan boleh meningkatkan minda, inovasi dan keilmuan kepada pembaca. Yang lain adalah bah...